Assalamualaikum..
" Penyesalan ialah taubat. Orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti mereka yang tiada dosa". (Riwayat al-Tabarani)
Oleh itu, kenapa dosa yang kita lakukan sama ada terhadap Allah mahupun manusia selalu sahaja dibiarkan tanpa rasa berdosa dan hendak bertaubat?
Jom kita rebut peluang untuk sentiasa bertaubat..
DOSA DENGAN ALLAH
- Menyekutukan Allah s.w.t dengan mana-mana makhluk (syirik). Mereka berharap dengan manusia dan wang. Mereka lupa kepada Allah yang memberi rezeki.
- Meninggalkan solat fardu. Terdapat remaja malah orang dewasa yang tidak mengenal sejadah, apatah lagi masjid. Kalau sudah bekerja dan mendapat pendapatan sendiri, solat ditinggalkan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terlupa semua bacaannya.
- Tidak membayar zakat. Ahli perniagaan yang mengaut keuntungan yang berganda-ganda tidak pernah terfikir untuk mengeluarkan zakat mahupun menderma kepada orang miskin. Bagi mereka, cukuplah zakat fitrah yang dikeluarkan setiap tahun sebelum Syawal.
- Zina. Ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan remaja malah orang tua juga. Perbuatan ini sudah pastinya daripada cabang dosa besar.
- Homoseksual yang berlaku dalam masyarakat kita tanpa kawalan. Mereka tahu perbuatan ini songsang dan salah tetapi tetap melakukannya.
DOSA DENGAN MANUSIA
- Menggunakan sihir untuk menjatuhkan orang lain. Kini masih terdapat umat Islam yang mengamalkan sihir terutama peniaga atau pasangan suami isteri.
- Menderhakai ibu bapa. Sejak remaja lagi sudah tahu melawan ibu bapa, apatah lagi apabila hendak berkahwin terlupa mengambil pandangan ibu bapa. Hakikatnya mereka menderhaka ibu bapa tanpa sedar.
- Memutuskan silaturahim. Antara adik-beradik sudah ada yang tidak bertegur sapa hanya mungkin kerana sedikit salah faham.
- Tidak menunaikan hak suami, isteri dan anak. Suami atau ayah menyalahgunakan harta yang ada untuk perkara yang haram. Begitu juga kepada isteri dan ibu yang tidak menunaikan tanggungjawab untuk keluarganya.
- Mengabaikan jiran. Membiarkan jiran kelaparan sedangkan dirinya kekenyangan. Inilah perkara lazim dalam kehidupan masyarakat kta.
Artikel ini adalah tulisan Ustaz Ahmad Baei bin Jaafar, Penolong Pendaftar Nikah, Selangor.