Jumaat, Februari 01, 2013

APA YANG KAMU LAKUKAN ITU, IQBAL?


Assalamualaikum..
Dr. Muhammad Iqbal
Suatu ketika, cendekiawan dan ulama terkenal, Dr. Muhammad Iqbal (1877-1938) pernah menceritakan suatu peristiwa yang amat terkesan di hatinya. Cerita cendikiawan yang berasal dari Pakistan itu berkisar tentang dirinya, ayahnya dan al-Quran. Kata Iqbal...

"Saya biasa membaca al-Quran selepas solat Subuh dan ayah selalu mengawasi saya. Bukan saja mengawasi, malah ayah juga bertanya, "Apa yang kamu lakukan itu, Iqbal?, padahal sudah jelas ayah tahu saya sedang mengaji. Saya menjawab, "Saya sedang membaca al-Quran, ayah".

"Pertanyaan itu ayah ulangi setiap pagi, setiap subuh, selama 3 tahun penuh. Jawapan yang saya berikan juga sama, setiap pagi, selepas subuh, selama 3 tahun penuh, bahawa saya sedang mengaji al-Quran."

"Suatu hari saya memberanikan diri bertanya kepada ayah, "Mengapa ayah selalu bertanyakan soalan yang sama, padahal jawapan saya juga sama? Jawab ayah, "Nak, bacalah al-Quran itu seolah-olah ia diturunkan langsung kepadamu."
Muhammad Iqbal's father
Bapa Muhammad Iqbal
"Barulah saya faham mengapa setiap subuh, ayah akan bertanyakan soalan tesebut. Sejak itu, saya sentiasa membayangkan seolah-olah al-Quran diturunkan untuk diri saya."

"Saya tidak saja membaca, tetapi cuba mengerti. Bukan sahaja mengerti, tetapi juga memahaminya. Tidak setakat memahami, saya juga mengamalkannya. Bukan sahaja mengamalkannya, malah cuba untuk menyampaikan kembali isi al-Quran itu seperti yang saya fahami."

Maka hari ini kita mengenang Muhammad Iqbal sebagai salah seorang tokoh besar Islam, yang bukan sahaja memahami dan mengamalkan isi al-Quran, malah berusaha menyampaikannya seluas dan sebaik yang boleh.