Assalamualaikum..
Ibuku seorang pembohong? Ya..memang sukar untuk orang lain percaya, tapi itulah yang
berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya,
sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala
pembohongan itu untuk dijadikan renungan kepada kita sekalian.
Kisah benar ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki
dalam sebuah keluarga sederhana. Makan minum serba kekurangan.
PEMBOHONGAN
YANG PERTAMA
Kami
sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami sekeluarga terpaksa makan ikan
masin. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering merungut. Saya
menangis, ingin nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu pintar berbohong. Ketika
makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan
nasi ke pinggan saya, ibu berkata; "Makanlah,
nak. Ibu tak lapar."
PEMBOHONGAN
YANG KE DUA
Ketika
saya mula membesar, ibu yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk
pergi memancing di sungai bersebelahan rumah. Ibu berharap dari hasil pancingan
itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami. Pulang dari
memancing, ibu memasak ikan segar yang mengundang selera. Sewaktu saya memakan
ikan itu, ibu duduk bersama kami dan memakan sisa daging ikan yang masih
melekat di tulang-tulang ikan yang kami makan tadi. Sedih melihat ibu seperti
itu, saya lalu memberikan ikan yang belum saya makan kepada ibu. Tetapi ibu
dengan cepat menolaknya. Ibu berkata; "Makanlah,
nak. Ibu tak suka makan ikan."
PEMBOHONGAN
YANG KE TIGA
Di
awal remaja, saya masuk ke sekolah menengah. Ibu biasa membuat kuih untuk
dijual sebagai tambahan wang saku saya dan adik-beradik yang lain. Suatu hari,
pada waktu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur. Saya
melihat ibu sedang membuat kuih dengan ditemani cahaya lilin di hadapannya. Beberapa
kali saya melihat kepala ibu tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Saya berkata;
"Ibu, tidurlah. Esok pagi ibu kan nak pergi ke kebun." Ibu tersenyum
dan berkata; "Tidurlah, nak. Ibu
belum mengantuk lagi."
PEMBOHONGAN
YANG KE EMPAT
Semasa
peperiksaan akhir di sekolah, ibu tidak pergi berjualan kuih seperti biasa. Ibu mahu menemani saya ke sekolah untuk memberi semangat kepada saya menghadapi peperiksaan. Walau hari semakin meninggi
dan panas terik mentari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di
luar. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Allah
agar saya lulus peperiksaan dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan
peperiksaan telah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi
yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak
dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat
tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu
dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata; "Minumlah, nak. Ibu tak dahaga!"
PEMBOHONGAN
YANG KE LIMA
Ketika
ayah meninggal dunia kerana sakit, saya baru berusia beberapa bulan. Ibulah yang
mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah
di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah daya seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan sukar.
Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang jiran yang baik hati dan tinggal
bersebelahan dengan kami datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan
itu. Jiran-jiran juga sering kali menasihati ibu supaya berkahwin lain agar ada
seorang lelaki yang menjaga dan mencarikan nafkah untuk kami. Tetapi
ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata; "Saya tak perlukan cinta dan lelaki."
PEMBOHONGAN
YANG KE ENAM
Setelah
abang dan kakak saya tamat sekolah dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Mereka menyuruh
ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak lagi bersusah payah untuk mencari
wang. Tetapi ibu tidak mau. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi bagi menjual
sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Abang dan kakak yang bekerja
jauh di bandar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu. Pun
begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malah ibu mengirim
balik wang itu dan ibu berkata; "Jangan
susah-susah, ibu ada duit."
PEMBOHONGAN YANG KE TUJUH
Setelah
tamat ijazah, saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di luar
negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.
Gelaran sarjana itu saya perolehi dengan cemerlang. Kemudian saya terpaksa
bekerja dengan syarikat tersebut di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berniat membawa ibu untuk menikmati
penghujung hidupnya bersama saya di luar negara. Pada saya, ibu sudah lama
bersusah-payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya dihabiskan dengan
penderitaan dan eloklah kalau hari-hari tuanya dihabiskan dengan keceriaan dan
keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu yang tidak
mahu menyusahkan anaknya ini berkata; "Tak
usahlah, nak. Ibu tak betah tinggal di negara orang."
PEMBOHONGAN
YANG KE LAPAN
Beberapa
tahun berlalu, ibu semakin tua. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang
penyakit kanser dan sel-sel kanser itu telah menjalar di seluruh bahagian leher.
Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh di luar
negara segera pulang untuk menjenguk ibu. Saya melihat ibu terbaring
lemah di hospital setelah selesai menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan
sangat tua itu, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan
saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang
menjalari setiap inci tubuhnya.
Saya
dapat melihat dengan jelas betapa kejamnya penyakit itu menyerang tubuh ibu,
sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu dengan linangan
air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kucup pula pipi dan dahinya. Di
saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan
seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata; "Jangan menangis, nak. Ibu dah semakin sihat."
Setelah
mengucapkan pembohongan yang ke 8 itu, ibu saya yang tercinta menutup mata untuk
selamanya. Di sebalik pembohongannya, tersimpan cintanya yang begitu besar bagi
anak-anaknya.
"Anda
bertuah kerana masih mempunyai ibu bapa. Anda boleh memeluk dan menciumnya.
Kalau ibubapa anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya dan berkata,
"Ayah/Ibu, saya sayang ayah/ibu." Tetapi saya sudah tidak boleh melakukannya.
Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi
ibu lebih dari segala-galanya, tetapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan
kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang
terakhir. Ibu, maafkan saya. Saya sayang ibu.."
Wah bestnyer cite
BalasPadamcerita ulangan ni..
Padamthks 4 reading yer..