Jumaat, Mei 24, 2013

PENGAJARAN DARI SEEKOR LALAT


Assalamualaikum..

Beberapa ekor lalat berterbangan riang  di atas sebuah tong sampah di depan sebuah rumah. Suatu ketika, anak pemilik rumah keluar dan tidak menutup kembali pintu rumah. Kemudian ternampak seekor lalat bergegas terbang memasuki rumah tersebut. Si lalat itu terus menuju ke meja makan yang penuh dengan makanan yang lazat.

"Saya sudah bosan dengan sampah-sampah itu. Ini masanya untuk saya menikmati makanan yang enak-enak," katanya. Setelah kenyang, si lalat bergegas ingin keluar dan terbang menuju ke pintu yang digunakan untuk masuk tadi. Namun ternyata, pintu kaca itu telah tertutup rapat. Si lalat hinggap di kaca pintu dan memandang kawan-kawannya yang melambai-lambaikan tangannya. Seolah-olah mereka meminta agar dia kembali bersama dengan mereka.

Si lalat pun terbang di sekitar kaca, sesekali melompat dan menerjah kaca itu. Dia tidak berputus asa untuk mencuba keluar dari pintu tersebut. Lalat itu merayap mengelilingi kaca dari atas ke bawah, dari kiri ke kanan, berbolak-balik dan berulang-ulang. Hari semakin petang, lalat itu mula keletihan dan lapar. Pada keesokan paginya, dia terkulai layu terkapar di lantai.

ant and flies

Tidak jauh dari tempat itu, serombongan semut merah mula berjalan keluar dari sarangnya untuk mencari makanan. Dan ketika mereka menjumpai lalat yang tidak berdaya itu, mereka mengerumuni secara beramai-ramai dan menggigit tubuh lalat itu sehingga mati. Mereka kemudian mengangkat bangkai lalat yang malang itu menuju ke sarang mereka.

Dalam perjalanan, seekor semut kecil bertanya kepada rakannya yang lebih tua, "Kenapa dengan lalat ini? Mengapa dia mati?". Balas semut yang tua, "Oh .., ini selalu berlaku. Akan ada sahaja lalat yang mati sia-sia seperti ini. Sebenarnya, dia telah bersungguh-sungguh berjuang untuk keluar dari pintu kaca itu. Namun apabila dia gagal, dia mula rasa kecewa dan putus asa. Hingga akhirnya, dia mati dan menjadi menu makan malam kita."

Semut kecil itu mengangguk-angguk, namun masih keliru dan bertanya lagi, "Saya masih tidak faham. Bukankah lalat ini sudah berusaha keras? Kenapa tidak berjaya?"

Sambil berjalan dan memegang bangkai lalat, semut tua itu menjawab, "Lalat ialah makhluk yang tidak akan menyerah dan terus mencuba. Tetapi dia ini melakukannya dengan cara yang sama." Semut tua itu memerintahkan rakan-rakannya berhenti sejenak seraya meneruskankan kata-katanya, namun kali ini dengan nada yang lebih serius, "Ingat anak muda, jika kamu melakukan sesuatu dengan cara yang sama tapi mengharapkan hasil yang berbeza, maka nasib kamu akan seperti lalat ini."

CA: Ya..perhatikan lalat2 yang sesat dan masuk ke dalam rumah kita. Ramai yang mati sia-sia seperti di atas. Dan ingatlah, mereka yang berjaya tidak melakukan hal-hal yang berbeza, mereka hanya melakukan hal tersebut dengan cara yang berbeza..