Isnin, Julai 01, 2013

DIA MATI BERKALI-KALI


chuck lamb
GAMBAR Chuck Lamb, 55, yang ditemui mati dalam keadaan tragis selepas kepalanya diketuk dengan tukul telah tersebar di dalam Internet beberapa tahun lalu. Kemudian, semakin banyak gambar kematian pengaturcara komputer dari Ohio ini menular dengan pelbagai punca kematian yang berlainan.

chuck lamb
Antaranya, gambar Lamb ditemui mati digelek lori, terjatuh tangga akibat terpijak barang permainan, mati tergantung akibat tali leher tersangkut pada kipas dan terkelar leher sendiri akibat menggaru leher sambil memegang pisau. Malah ada juga gambar menunjukkan Lamb mati akibat terkena renjatan elektrik ketika mandi dan mati dalam keadaan muka tersembam pada mangkuk sup ayam akibat selesema burung.

chuck lamb
Lamb bukannya menipu kematiannya, tetapi itu adalah hobi peliknya iaitu mengambil gambar aksi kematian yang dilakonkan sendiri dan kebanyakannya berunsurkan komedi. Hobi bapa kepada enam orang anak ini disokong kuat oleh isterinya, Tonya, yang akan menyediakan darah palsu malah mengambil gambar aksi suaminya lalu memuat-naik gambar tersebut dalam laman web mereka, www.deadbodyguy.com.

Ujar Lamb, perbuatan menayangkan gambar cara kematiannya adalah sebagai satu cara dia mengabadikan dirinya. Ia juga kerana dia mahu mencari peluang untuk bergelar pelakon walaupun sekadar watak mayat.

Terangnya, dia sedar fizikalnya bukanlah idaman para pengarah dengan kulit yang pucat, kepala botak dan tiada bakat berlakon. Namun fikirnya, sesiapa sahaja boleh melakonkan watak mayat kerana tidak bergerak.

Dalam 3 minggu sahaja, laman web miliknya ditonton seramai 300,000 pelayar Internet di seluruh dunia dan dia mula dijemput menghadiri temubual radio, televisyen dan surat khabar. Sekarang, lebih 50 juta telah melayari laman web miliknya itu.

Malah, cita-citanya turut tercapai apabila dia telah dipanggil berlakon sebagai pelakon tambahan dalam beberapa buah drama dan filem. Nampaknya rezeki Lamb mula terserlah apabila dia 'mati'.

CA: Hanya Allah yang Maha Mengetahui bagaimana kamu, aku dan kita akan mati. Semoga 'husnul khatimah' adalah milik kita.