Khamis, Julai 11, 2013

LEKEH DI SISI MANUSIA TAPI..


bangladesh
Sebaik sahaja keluar dari kereta setelah meletakkannya di lot parkir universiti, saya disapa dengan ucapan salam serta sekuntum senyuman oleh seorang anak muda. Menerima sapaan ikhlas seumpama ini hampir menjadi rutin sebelum memulakan jadual harian kerja setiap pagi sejak 6 bulan yang lalu dengan kehadiran tukang kebun yang istimewa ini.

Apa tidaknya, beliau sentiasa memulakan tugasnya membersihkan laman universiti setiap awal dan sentiasa ceria dalam bekerjaya. Belum sempat saya memulakan salam, beliau lebih pantas mendahuluinya dengan senyuman manis yang terserlah keikhlasannya.

Terdetik di dalam diri keinginan untuk berkenalan lebih lanjut dengannya tetapi tidak berpeluang. Di permulaan Ramadhan hari ini, saya ke surau lebih awal dengan hasrat untuk meluangkan sedikit masa untuk membaca al Qur’an di bulan mulia ini.

Sebaik sampai ke surau, saya dapati sepasang selipar di situ dan kedengaran bunyi air bagaikan seseorang yang sedang berwuduk. Tanggapan saya benar, apabila saya dapati anak muda yang ingin saya temui ini sedang bersiap-siap untuk bersolat.

Seusai mengimami solat zuhur, saya mendekati beliau yang sedang tekun bertadabbur. Saya mengambil keputusan untuk berkenalan lanjut dengannya.

Dr Z  : Assalamu’alaikum. Apa khabar?
MA   : Wa’alaikum salam. Khabar baik tuan.
Dr Z  : Siapa nama ya?
MA   : Nama saya Muhamad Adnan bin Muhamad Sadiq.
Dr Z  : Berapa umur sekarang?
MA   : Sekarang saya 27 tahun.
Dr Z  : Asal dari Dakka ke? (Saya cuba meneka kerana tidak tahu banyak mengenai bandar-bandar di Bangladesh jika dibandingkan dengan lokasi di Mesir, Jordan dan Arab Saudi yang kerap saya kunjungi)
MA   : Bukan, kampung saya lebih kurang 2 jam naik kereta dari Dakka.
Dr Z  : Sudah berapa lama bekerja di Malaysia?
MA   : Saya sudah 7 tahun bekerja di Malaysia, di IMU ini baru setengah tahun.
Dr Z  : Bila mahu kahwin? (saya cuba mengusiknya)
MA   : Saya belum fikir pasal kahwin tuan.
Dr Z  : Berapa dapat sebulan gaji di sini? (Saya tak tahu pendapatannya kerana dia diambil bekerja di IMU (tempat saya bekerja) melalui agensi)
MA   : Alhamdulillah, di sini saya dapat RM 750 sebulan.
Dr Z  : Boleh cukup ke sara hidup dengan RM 750 sebulan?
MA   : Ini cukup-cukup sahaja. RM 180 untuk sewa rumah. Lain-lain untuk makan, bil letrik dan telefon ( dia menyewa sebuah rumah kayu yang kecil di Seremban). Sebelah petang dan hujung minggu, saya akan potong rumput di rumah orang di sekitar Seremban. Satu rumah dapat RM 40-50 dan satu bulan saya boleh dapat antara RM 800-1000.00.
Dr Z  : Berapa banyak hantar duit ke Bangladesh setiap bulan?
MA   : Semua duit potong rumput saya akan simpan dan kirim ke Bangladesh, lebih kurang RM 800-1000 setiap bulan.
Dr Z  : Buat apa dengan duit kiriman tu?
MA   : Bantu ayah-emak saya yang sudah tua dan saya juga minta mereka belikan tanah di sana. Alhamdulillah, saya sudah ada sawah padi di Bangladesh dan sekarang saya upahkan orang kampung saya untuk tanam padi.
Dr Z  : Subhanallah. Hebatlah kamu Adnan….Saya berbangga dengan kamu.
MA   : Alhamdulillah, syukur kerana Allah beri saya rezeki di Malaysia.
Dr Z  : (Sambil membelek naskhah al Quran yang dipegang sejak tadi, saya dengan sengaja ingin menguji tahap kemampuannya membaca al Quran). Boleh ajarkan saya al Qur’an?
MA   : Insyaallah, boleh (sambil tersenyum).       
Dr Z  : Kamu hafaz 30 juzuk al Qur’an ke?
MA   : Alhamdulillah…sejak saya kecil. Kira-kira 3-4 tahun semasa bersekolah rendah, saya dapat menghafaz 30 juzuk al Quran.
Dr Z  : Subhanallah… (Saya mengetap bibir kerana rasa malu bercampur kagum dengan si anak muda, tukang kebun dari Bangladesh ini).
Dr Z  : Ok, Adnan. Saya nak masuk semula ke pejabat. Lain kali kita boleh berbual-bual lagi.
MA   : Baik tuan. Ramadhan kareem… (Dia beredar dengan senyuman).

Di dalam hati, tersemat rasa kepuasan yang tidak berbelah bagi kerana dapat bertemu dengan anak muda yang kelihatan ‘biasa’ dan mungkin dipandang ‘lekeh’ oleh orang ramai. ‘Hanya seorang tukang kebun’, ‘Bangladesh’ pulak tu...

Siapa dia dan siapa kita di sisi Allah SWT?

CA: Artikel ini adalah tulisan Dr Zainur Rashid Zainuddin dari zainurrashid.com. Semoga kita akan berhenti memandang rendah kepada manusia2 lain. Mereka mungkin lebih disayangi oleh penduduk2 langit berbanding kita..