Sabtu, Julai 13, 2013

KENAPA SAUDI MENOLAK MORSI

Seluruh dunia Islam terkejut dan bersedih dengan kejatuhan Presiden Morsi. Tetapi ada sebuah negara yang menjadi kiblat umat Islam, bergembira dengan penggulingan tersebut. Beberapa jam selepas Presiden Muhammed Morsi digulingkan, Saudi dengan serta-merta mengucapkan tahniah kepada presiden sementara Mesir, Adly Mansour. Saudi menzahirkan rasa gembira dengan kejatuhan parti Islam itu selepas beberapa dekad menjadi pembangkang.

Sangat ironik. Saudi yang melaungkan bahawa mereka memerintah berdasarkan undang-undang Islam, amat bimbang dengan kebangkitan parti Islam. Seperti negara barat, Saudi lebih selesa bergabung dengan pemimpin diktator tentera Mesir. Apabila Ikhwan Muslimin berjaya mengambil alih kuasa dan Morsi menjadi presiden pada 2012, Saudi mula bimbang. Saudi menghadapi masalah dengan Ikhwan Muslimin yang mempunyai kaedah berbeza dalam mengembangkan islam, yang mempunyai keupayaan organisasi yang cekap, dengan pengaruh yang semakin berkembang dan juga penyertaan dalam pilihanraya yang semakin diterima rakyat.

Golongan terpelajar Saudi semakin tertarik dengan pendekatan Ikhwan dan gerakan masyarakat yang dijalankan. Kebanyakan mereka kecewa dengan sekatan golongan Wahabi-Salafi yang mengharamkan penyertaan politik dan mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan secara mutlak tanpa perbincangan. Mereka mendapati pendekatan secara perbincangan terbuka lebih diterima oleh masyarakat. Kekosongan ideologi nasionalis dan sosialis Arab selepas 1967 mula digantikan dengan politik Islam Ikhwan Muslimin.

Bagi mengekang pengaruh Ikhwan Muslimin, pihak berkuasa Arab Saudi mula mengecamnya sebagai faktor pemecah-belah dan menuduhnya bertentangan dengan agama. Saudi mula menyekat kegiatan Ikhwan selepas ia mengecam tindakan Saudi mengundang tentera asing yang diketuai AS untuk mengusir Saddam Hussein dari Kuwait dalam Perang Teluk 1990.

Selepas peristiwa 9/11, prasangka Saudi terhadap Ikhwan bertukar kepada perseteruan. Putera Nayef menuduh Ikhwan menjadikan pemuda Saudi sebagai radikal dan menuduhnya bertanggungjawab terhadap keganasan yang berlaku pada tahun 2003 sehingga 2008. Akan tetapi beliau gagal membuktikannya dan beberapa kekacauan yang berlaku adalah akibat dari masalah dalaman Saudi sendiri.

Pada asalnya, Dinasti al-Saud tidak bimbang dengan pengaruh Ikhwan kerana pergerakan itu dilihat sebagai gerakan pembangkang semata-mata. Tetapi selepas Ikhwan berjaya di Mesir dan Tunisia (kemungkinan juga di Syria), pandangan Riyadh terhadap Ikhwan telah bertukar. Mereka bimbang kebangkitan Ikhwan akan mengembangkan pengaruh tersebut ke dalam kerajaan beraja Saudi.

Saudi Arabia selama ini dianggap sebagai mewakili negara Islam Sunni dalam menghadapi seteru kuatnya iaitu Iran (mewakili Syiah). Oleh itu, apabila Ikhwan menyeru kepada perpaduan Islam sebaik saja memegang kuasa di Mesir, ia telah mengendurkan sedikit pertikaian Sunni-Syiah. Bila Morsi membuat lawatan ke Iran pada 2012, Saudi mengecam pendekatan tersebut dengan keras. Saudi melihat Mesir di bawah Morsi ingin keluar dari pengaruhnya.

Apabila Ikhwan menjalinkan hubungan yang rapat dengan Qatar, Saudi melihat ia sebagai satu usaha untuk mengurangkan pengaruhnya di kalangan negara teluk. Gerakan Ikhwan dilihat tidak boleh dipercayai lagi dan pengaruhnya sudah berada di sempadan. Ini amat dibimbangi Saudi kerana ia akhirnya boleh menggugat kerajaan berajanya.

Pihak Saudi juga bimbang akan wujudnya pengaruh tiga serangkai iaitu Mesir, Turki dan Qatar (satu-satunya negara teluk yang mempunyai hubungan rapat dengan Ikhwan) yang akan menjejaskan lagi pengaruh Saudi di Timur Tengah.

Kejatuhan kerajaan pimpinan Ikhwan Muslimin ini disambut gembira oleh media Saudi walaupun ia ditangisi oleh seluruh dunia Islam. Wartawan bebas di Saudi mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir kerana berjaya menyingkirkan apa yang mereka sifatkan kerajaan Islam diktator tetapi mereka lupa tentang diktator yang mencengkam negara mereka sendiri.

Pada masa ini, sudah mula tersebar berita di kalangan pergerakan Islam bahawa Arab Saudi dan UAE adalah dalang di sebalik kejatuhan Morsi. Arab Saudi telah berjaya dalam misinya menjatuhkan parti Islam yang mencabar pengaruhnya. Ia juga merupakan satu isyarat yang jelas kepada mana-mana wilayah yang cuba mengembangkan gerakan Ikhwan.

Walau apa pun yang berlaku kepada Mesir dan Gaza, inilah saat untuk bergembira yang dinanti-nantikan oleh Dinasti al-Saud di Saudi!


Artikel lain yang berkaitan;
BABAK AKHIR SEBELUM MORSI DITAHAN
MESIR: PUAS HATI SEKARANG??!
UCAPAN MORSI SELEPAS DIGULINGKAN SECARA ZALIM 
MESIR: BILA SEKULAR TERGUGAT 
PAKATAN JAHAT UNTUK MENGGULINGKAN MORSI