Seluruh
dunia Islam terkejut dan bersedih dengan kejatuhan Presiden Morsi. Tetapi ada sebuah
negara yang menjadi kiblat umat Islam, bergembira dengan penggulingan tersebut.
Beberapa jam selepas Presiden Muhammed Morsi digulingkan, Saudi dengan
serta-merta mengucapkan tahniah kepada presiden sementara Mesir, Adly Mansour. Saudi
menzahirkan rasa gembira dengan kejatuhan parti Islam itu selepas beberapa
dekad menjadi pembangkang.
Sangat
ironik. Saudi yang melaungkan bahawa mereka memerintah berdasarkan
undang-undang Islam, amat bimbang dengan kebangkitan parti Islam. Seperti negara
barat, Saudi lebih selesa bergabung dengan pemimpin diktator tentera Mesir. Apabila
Ikhwan Muslimin berjaya mengambil alih kuasa dan Morsi menjadi presiden pada
2012, Saudi mula bimbang. Saudi menghadapi masalah dengan Ikhwan Muslimin yang
mempunyai kaedah berbeza dalam mengembangkan islam, yang mempunyai keupayaan
organisasi yang cekap, dengan pengaruh yang semakin berkembang dan juga penyertaan
dalam pilihanraya yang semakin diterima rakyat.
Golongan
terpelajar Saudi semakin tertarik dengan pendekatan Ikhwan dan gerakan masyarakat yang dijalankan. Kebanyakan
mereka kecewa dengan sekatan golongan Wahabi-Salafi yang mengharamkan
penyertaan politik dan mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan secara mutlak
tanpa perbincangan. Mereka mendapati pendekatan secara perbincangan terbuka
lebih diterima oleh masyarakat. Kekosongan ideologi nasionalis dan sosialis Arab
selepas 1967 mula digantikan dengan politik Islam Ikhwan Muslimin.
Bagi
mengekang pengaruh Ikhwan Muslimin, pihak berkuasa Arab Saudi mula mengecamnya
sebagai faktor pemecah-belah dan menuduhnya bertentangan dengan agama. Saudi
mula menyekat kegiatan Ikhwan selepas ia mengecam tindakan Saudi mengundang
tentera asing yang diketuai AS untuk mengusir Saddam Hussein dari Kuwait dalam Perang
Teluk 1990.
Selepas
peristiwa 9/11, prasangka Saudi terhadap Ikhwan bertukar kepada perseteruan.
Putera Nayef menuduh Ikhwan menjadikan pemuda Saudi sebagai radikal dan
menuduhnya bertanggungjawab terhadap keganasan yang berlaku pada tahun 2003 sehingga
2008. Akan tetapi beliau gagal membuktikannya dan beberapa kekacauan
yang berlaku adalah akibat dari masalah dalaman Saudi sendiri.
Pada
asalnya, Dinasti al-Saud tidak bimbang dengan pengaruh Ikhwan kerana pergerakan
itu dilihat sebagai gerakan pembangkang semata-mata. Tetapi selepas Ikhwan berjaya di Mesir
dan Tunisia (kemungkinan juga di Syria), pandangan Riyadh terhadap Ikhwan telah
bertukar. Mereka bimbang kebangkitan Ikhwan akan mengembangkan
pengaruh tersebut ke dalam kerajaan beraja Saudi.
Saudi
Arabia selama ini dianggap sebagai mewakili negara Islam Sunni dalam menghadapi
seteru kuatnya iaitu Iran (mewakili Syiah). Oleh itu, apabila Ikhwan menyeru
kepada perpaduan Islam sebaik saja memegang kuasa di Mesir, ia telah
mengendurkan sedikit pertikaian Sunni-Syiah. Bila Morsi membuat lawatan ke Iran
pada 2012, Saudi mengecam pendekatan tersebut dengan keras. Saudi melihat Mesir
di bawah Morsi ingin keluar dari pengaruhnya.
Apabila
Ikhwan menjalinkan hubungan yang rapat dengan Qatar, Saudi melihat ia sebagai
satu usaha untuk mengurangkan pengaruhnya di kalangan negara teluk. Gerakan
Ikhwan dilihat tidak boleh dipercayai lagi
dan pengaruhnya sudah berada di sempadan. Ini amat dibimbangi Saudi kerana ia akhirnya
boleh menggugat kerajaan berajanya.
Pihak
Saudi juga bimbang akan wujudnya pengaruh tiga serangkai iaitu Mesir, Turki dan
Qatar (satu-satunya negara teluk yang mempunyai hubungan rapat dengan Ikhwan) yang
akan menjejaskan lagi pengaruh Saudi di Timur Tengah.
Kejatuhan
kerajaan pimpinan Ikhwan Muslimin ini disambut gembira oleh media Saudi
walaupun ia ditangisi oleh seluruh dunia Islam. Wartawan bebas di Saudi
mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir kerana berjaya menyingkirkan apa yang
mereka sifatkan kerajaan Islam diktator tetapi mereka lupa tentang diktator
yang mencengkam negara mereka sendiri.
Pada
masa ini, sudah mula tersebar berita di kalangan pergerakan Islam bahawa Arab
Saudi dan UAE adalah dalang di sebalik kejatuhan
Morsi. Arab Saudi telah berjaya dalam misinya menjatuhkan parti Islam yang
mencabar pengaruhnya. Ia juga merupakan satu isyarat yang jelas kepada
mana-mana wilayah yang cuba mengembangkan gerakan Ikhwan.
Waazin Aiman · 611 weeks ago
chekgu anitt 55p · 611 weeks ago
habis dimusnahkan oleh org islam sendiri..
wanhayden · 611 weeks ago
chekgu anitt 55p · 611 weeks ago
lebih teruk dari lembu yg dicucuk hidung..
anna · 611 weeks ago
chekgu anitt 55p · 611 weeks ago
singgah jenguk anna jap lg..hehe
haynee · 611 weeks ago
chekgu anitt 55p · 611 weeks ago
untuk pengajaran dunia islam yg lain..
doa bterusan untuk morsi dan umat islam yg ditindas..