Assalamualaikum..
Kenal
tak al-Hasan al-Basri? Mesti ramai pembaca yang kenal kan. Bagi yang tak kenal,
nanti CA kenalkan. al-Hassan al-Basri ialah ulama terkenal di Basrah yang
dilahirkan di Madinah sekitar tahun 21 Hijrah. Beliau berguru dengan ramai
sahabat-sahabat Rasulullah seperti Uthman bin Affan, Abdullah bin Abbas, Ali
bin Abi Talib, Anas bin Malik dan Abdullah bin Umar.
Al-Hassan ini tidak bersikap pejam mata terhadap suasana politik yang berlaku di negaranya. Beliau sangat ikhlas dalam menasihati pemerintah dan lebih mengutamakan perintah Allah dari perintah pemerintah itu sendiri.
Ada
satu peristiwa berlaku semasa zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul
Malik. Seorang pembesar negara pada masa itu iaitu Umar bin Hubayrah telah
datang bertemu beliau untuk meminta buah fikiran. Ini kerana khalifah tersebut
telah memerintahkan Umar bin Hubayrah melakukan suatu perkara yang bertentangan
dengan perintah Allah.
Lalu
al-Hassan menasihati beliau:
"Wahai Ibn Hubayrah! Takutlah kamu kepada
Allah dalam melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Yazid. Janganlah kamu
takut kepada Yazid dalam melaksanakan perintah Allah."
"Ketahuilah
bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk melindungi kamu daripada kemarahan Yazid,
sedangkan Yazid tidak berkuasa untuk melindungi kamu daripada kemurkaan
Allah."
"Wahai
Ibn Hubayrah! Tidak lama lagi malaikat yang sangat bengis dan tidak pernah
melanggar perintah Allah akan datang kepada kamu. Ia akan memindahkan kamu dari
istana kamu yang sangat luas ke kubur kamu yang sangat sempit. Di sana, kamu
tidak akan bertemu dengan Yazid sebaliknya kamu akan bertemu dengan amalan
perbuatan kamu yang melanggar perintah Tuhan Yazid."
"Wahai
Ibn Hubayrah! Sekiranya kamu tetap bersama-sama dengan Allah dan sentiasa berada
dalam keadaan melakukan ketaatan kepada-Nya, kamu akan terselamat daripada
malapetaka Yazid bin Abdul Malik di dunia dan di akhirat kelak. Tetapi,
sekiranya kamu sentiasa melakukan maksiat kepada Allah s.w.t, Allah akan
menyerahkan kamu kepada Yazid."
"Ketahuilah
wahai Ibn Hubayrah, sesungguhnya kita tidak boleh mentaati perintah makhluk
dalam perkara yang melanggar perintah Allah."
Mendengar
kata-kata tersebut, Ibn Hubayrah terus menangis sehingga air mata membasahi
janggutnya.