Assalamualaikum..
Petikan ini CA ambil dari kitab agung
karangan ilmuan Islam yang tidak asing lagi di kalangan umat Islam dan dunia
Islam iaitu al-Marhum Ismail bin Kathir
al-Quraisyi ad-Damsyiqiy, atau lebih dikenali dengan Ibnu Kathir yang bertajuk Kisah Para Nabi (Qishash al-Anbiya).
Dari Ishaq bin Bisyr, dari Sa'id bin Abi
Arubah dan Muqatil, keduanya dari Qatadah, dari Abdur Rahman bin Adam, dari Abi
Hurairah r.a berkata bahawa Allah Azza wajalla memberi wahyu kepada Nabi Isa
a.s:
"Wahai Isa! Bersungguh-sungguhlah
engkau melaksanakan perintah-Ku, dan janganlah kamu berasa lemah. Dengarkanlah
dan patuhilah wahai anak seorang perempuan suci yang masih gadis dan perawan! Sesungguhya
engkau lahir tanpa seorang lelaki dan Aku menciptakan engkau sebagai tanda
(kekuasaan-Ku) bagi seluruh alam. Kepada-Kulah engkau menyembah dan kepada-Ku
engkau bertawakal. Peganglah al-Kitab (Injil) dengan bersungguh-sungguh dan
jelaskan kepada penduduk Suryani, sampaikan kepada orang yang ada di hadapanmu
bahawasanya aku adalah Zat Yang Maha Benar (adanya) yang Maha Hidup, yang
Berdiri Sendiri tidak akan mati. Benarkanlah (akuilah) nabi yang tidak pandai
menulis dan membaca yang berbangsa Arab, menunggang unta, memakai serban, jubah
yang berbelah bahagian depan, dua sandal dan tongkat tentera, lebar kedua
matanya, lebar dahinya, yang montok kedua pipinya, yang kerinting rambutnya,
lebat janggutnya, yang beriringan kedua alisnya, yang mancung hidungnya, yang
terpisah gigi serinya, nampak rambut-rambut antara bibir dan janggut, yang
jinjang lehernya (bagai piala perak), seolah-olah emas berjalan di tulang
selangkanya, yang berambut dari dada sampai ke pusat perutnya, dan tidak pula
di dadanya selain itu. Apabila berjalan, seolah-olah turun dari atas, keringat
di wajahnya bagaikan mutiara dan bau misk bertiup daripadanya, belum pernah
dilihat orang seperti itu baik sebelum mahu sesudahnya, bagus perwatakan tinggi
badannya, harum baunya, ramai isterinya, sedikit keturunannya, anak
keturunannya hanyalah dari wanita yang diberkati, yang memiliki rumah (iaitu
dalam syurga) dari mutiara, tidak ada kesukaran dan tidak ada pergaduhan di
dalamnya. Engkau akan menjaminnya wahai Isa di akhir zaman sebagaimana Zakaria
menjamin ibumu. Disisi-Ku dia memiliki
kedudukan yang tidak dimiliki manusia siapapun. Perkataannya adalah al-Quran
dan agamanya Islam sedangkan Aku adalah sumber kedamaian. Beruntunglah orang
yang menjumpai zamannya, menyaksikan hari-harinya dan mendengar ucapannya".
Isa berkata: "Oh Tuhan! Apakah
keuntungannya?" Allah berfirman: Penamaan sebatang pokok yang aku tanam dengan
tangan-Ku. Maka ia syurga seluruhnya. Pangkalnya dari kerelaan, airnya dari
Tasnim, kesejukkannya sesejuk kapur, rasa halia, baunya bau misk, sesiapa yang
minum daripadanya sekali minum maka sesudah itu tidak akan dahaga
selama-lamanya".
Isa berkata: "Oh Tuhanku! Berilah aku
minum daripadanya". Allah menjawab: "Haram ke atas para nabi minum
daripadanya sehingga nabi itu minum (terlebih dahulu) dan haram ke atas umat-umat
minum daripadanya sehingga umat nabi itu minum (terlebih dahulu) ".
Allah berfirman: "Wahai Isa! Aku akan
mengangkatmu kepada-Ku". Isa bertanya: "Oh Tuhan! Untuk apa Engkau
mengangkatku kepada-Mu?" Allah
menjawab: "Aku akan mengangkatmu kemudian Aku akan menurunkanmu di akhir
zaman agar engkau dapat melihat berbagai keajaiban dari umat nabi itu dan agar
engkau dapat membantu mereka untuk memerangi Dajjal terkutuk. Aku akan
menurunkan engkau di waktu solat, namun engkau tidak mengimani mereka kerana
umat ini dihormati dan tidak ada nabi sesudah nabi mereka".
Hisyam bin Ammar berkata dari al-Walid bin
Muslim, dari Abdir Rahman bin Zaid, dari bapanya, bahawa Nabi Isa berkata: "Oh Tuhan! Terangkanlah kepadaku tentang
umat yang dihormati itu". Allah berkata: " Dia adalah umat Ahmad (Muhammad).
Mereka para ulama yang bijaksana, seolah-olah mereka ini nabi. Mereka reda
dengan yang sedikit dari (pemberian-Ku) dan Aku reda dengan yang sedikit dari
mereka. Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga kerana ucapan: "La ilaaha ilallah (Tiada Tuhan selain
Allah). Wahai Isa! Mereka adalah yang terbanyak dari penduduk syurga, kerana
lisan-lisan kaum yang lain tidak tunduk sama sekali dengan La ilaaha ilallah sebagaimana tunduk dengannya lisan-lisan umat
ini dan leher-leher suatu kaum sama sekali tidak mahu tunduk dengan sujud
sebagaimana tunduk dengannya leher-leher umat ini". Riwayat Ibnu Asakir.
CA: Lihatlah
bagaimana Allah memuliakan Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya, iaitu kita semua.
Tetapi mengapa kita sibuk mencari kemuliaan dengan perkara2 yang lain dan
merosakkan segala kemuliaan yang diberi Allah. Percayalah, apabila kita mencari
kemuliaan dengan perkara lain, Allah akan menimpakan kehinaan kepada kita ~ SALAM MAULIDUR RASUL