Jumaat, Jun 28, 2013

IBUKU SEORANG PEMBOHONG


Assalamualaikum..

Ibuku seorang pembohong? Ya..memang sukar untuk orang lain percaya, tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya, sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan kepada kita sekalian.

Kisah benar ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga sederhana. Makan minum serba kekurangan.

mother

PEMBOHONGAN YANG PERTAMA
Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami sekeluarga terpaksa makan ikan masin. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering merungut. Saya menangis, ingin nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu pintar berbohong. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke pinggan saya, ibu berkata; "Makanlah, nak. Ibu tak lapar."

PEMBOHONGAN YANG KE DUA
Ketika saya mula membesar, ibu yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di sungai bersebelahan rumah. Ibu berharap dari hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami. Pulang dari memancing, ibu memasak ikan segar yang mengundang selera. Sewaktu saya memakan ikan itu, ibu duduk bersama kami dan memakan sisa daging ikan yang masih melekat di tulang-tulang ikan yang kami makan tadi. Sedih melihat ibu seperti itu, saya lalu memberikan ikan yang belum saya makan kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata; "Makanlah, nak. Ibu tak suka makan ikan."

PEMBOHONGAN YANG KE TIGA
Di awal remaja, saya masuk ke sekolah menengah. Ibu biasa membuat kuih untuk dijual sebagai tambahan wang saku saya dan adik-beradik yang lain. Suatu hari, pada waktu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu sedang membuat kuih dengan ditemani cahaya lilin di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu tersengguk-sengguk  menahan mengantuk. Saya berkata; "Ibu, tidurlah. Esok pagi ibu kan nak pergi ke kebun." Ibu tersenyum dan berkata; "Tidurlah, nak. Ibu belum mengantuk lagi."

PEMBOHONGAN YANG KE EMPAT
Semasa peperiksaan akhir di sekolah, ibu tidak pergi berjualan kuih seperti biasa. Ibu  mahu menemani saya ke sekolah untuk memberi semangat kepada saya menghadapi peperiksaan. Walau hari semakin meninggi dan panas terik mentari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Allah agar saya lulus peperiksaan dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan peperiksaan telah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata; "Minumlah, nak. Ibu tak dahaga!"

PEMBOHONGAN YANG KE LIMA
Ketika ayah meninggal dunia kerana sakit, saya baru berusia beberapa bulan. Ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah daya seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan sukar. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang jiran yang baik hati dan tinggal bersebelahan dengan kami datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran juga sering kali menasihati ibu supaya berkahwin lain agar ada seorang lelaki yang menjaga dan mencarikan nafkah untuk kami. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata; "Saya tak perlukan cinta dan lelaki."

PEMBOHONGAN YANG KE ENAM
Setelah abang dan kakak saya tamat sekolah dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Mereka menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak lagi bersusah payah untuk mencari wang. Tetapi ibu tidak mau. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi bagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Abang dan kakak yang bekerja jauh di bandar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu. Pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malah ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata; "Jangan susah-susah, ibu ada duit."

PEMBOHONGAN YANG KE TUJUH
Setelah tamat ijazah, saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di luar negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Gelaran sarjana itu saya perolehi dengan cemerlang. Kemudian saya terpaksa bekerja dengan syarikat tersebut di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berniat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya bersama saya di luar negara. Pada saya, ibu sudah lama bersusah-payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya dihabiskan dengan penderitaan dan eloklah kalau hari-hari tuanya dihabiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu yang tidak mahu menyusahkan anaknya ini berkata; "Tak usahlah, nak. Ibu tak betah tinggal di negara orang."

PEMBOHONGAN YANG KE LAPAN
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser dan sel-sel kanser itu telah menjalar di seluruh bahagian leher. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh di luar negara segera pulang untuk menjenguk ibu. Saya melihat ibu terbaring lemah di hospital setelah selesai menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua itu, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.

Saya dapat melihat dengan jelas betapa kejamnya penyakit itu menyerang tubuh ibu, sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu dengan linangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kucup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata; "Jangan menangis, nak. Ibu dah semakin sihat."

Setelah mengucapkan pembohongan yang ke 8 itu, ibu saya yang tercinta menutup mata untuk selamanya. Di sebalik pembohongannya, tersimpan cintanya yang begitu besar bagi anak-anaknya.

"Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu bapa. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibubapa anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya dan berkata, "Ayah/Ibu, saya sayang ayah/ibu." Tetapi saya sudah tidak boleh melakukannya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tetapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ibu, maafkan saya. Saya sayang ibu.."

3 comments :

  1. Balasan
    1. cerita ulangan ni..
      thks 4 reading yer..

      Padam
  2. Bisnis lokal yang paling BOOMING:
    Terbukti, hanya dlm waktu 174 hari, member telah lebih dari 377.158 orang

    http://indoboclub.com/?ref=ekp31

    Dahsyat!!
    - Membantu Bunda Dan Ayah Sendiri
    - INI GRATIS ~~~~~~~~~~~~~~
    - Jika Anda Seorang Pelajar Saat Nya mencari Uang Sendiri
    - Mempunyai 2 sistem utama: Plan GRATIS & Plan INVESTASI
    - Withdrawal bisa ke PM, Bank Lokal, dan Pulsa
    - Web semakin AMAN dengan HTTPS/SSL 256 bit
    - Komunikasi langsung dgn Admin via SMS/Call/FB
    - Invest minimal $0.5 via PM, EgoPay, Payza, & Bank Lokal
    - Profit 2% x 100 hari + Profit extra
    - Compound minimal $0.5
    - WD INSTANT ke PM minimal $0.02 (cuma butuh waktu 3 detik)
    - WD ke Bank Lokal minimal $20 (kurs $1 = Rp 9.700)
    - WD dgn Pulsa HP dengan harga dibawah standar pasar
    - Tersedia fitur IBC MOBILE, website versi HP
    - Jika Ingin Lebih Jelass Lagi Kunjungi web saya Di
    http://kesuksesantergantunganda.blogspot.com/
    - Terima Kasih

    BalasPadam