Khamis, Januari 31, 2013

WILLIAM YAU: SENYUMANNYA DALAM KENANGAN


Assalamualaikum..
Penantian mengenai identiti sebenar mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui di Pelabuhan Klang petang Khamis lalu, akhirnya terjawab sudah. Segala igauan buruk dan kebimbangan bahawa mayat itu berkemungkinan adik William Yau Zhen Zhong menjadi kenyataan. Ini berdasarkan kepada laporan awal DNA yang dijalankan oleh pihak forensik.

Mayat adik William Yau telah pun selamat dibakar petang Isnin sekaligus mengakhiri minggu yang cukup sukar buat kedua ibu bapa dan sanak-saudara William. Namun pada ketika kaum keluarga Yau masih bersedih dan dalam keadaan terkejut dengan kematian William, kita dikejutkan dengan dakwaan sesetengah laporan pihak media kononnya mendiang William Yau didera oleh bapanya semasa hidup.

Dakwaan tersebut cukup merungsingkan bukan sahaja kepada ibu bapa William bahkan juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Apakah mungkin dakwaan itu berasas?
William Yau Zhen Zong
Kematian William ini wajar menjadi iktibar kepada semua ibu bapa agar tidak leka dalam memantau pergerakan anak-anak mereka. Dalam tragedi melibatkan William Yau, satu kesilapan besar yang dilakukan ibubapa mereka ialah membiarkan ketiga-tiga anaknya di dalam kereta manakala mereka pergi ke sebuah kedai elektrik berhampiran.

Malang tidak berbau, kelekaan dalam sekelip mata berakhir dengan tragedi. Kita harapkan tragedi yang menimpa adik William Yau tidak akan menimpa kepada kanak-kanak lain. Pada masa sama, golongan ibubapa perlu meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan mereka sepanjang masa. Jangan biarkan kesiapsiagaan ini datang secara bermusim.

Pastikan adik William Yau, Nurin Jazlin dan kehilangan Tee Song Shen tidak mati secara sia-sia. Sudah sampai masanya kita berbuat sesuatu sebelum terlambat!